Sunday, November 11, 2012

Batasan Iman Dan Kufur

Batasan Iman Dan Kufur

Muqaddimah :

Iman merupakan sesuatu yang cukup penting dalam kehidupan seorang
mukmin. Hukum syara' telah menjelaskan bahawa Iman dan Islam itu ada
pintu masuk dan juga pintu keluarnya. Sesungguhnya ikrar dan
mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu dan kuncinya.
Seseorang dianggap keluar daripada Iman dan Islam apabila lahir
daripadanya perkataan, perbuatan atau i'tiqad yang membatalkan ikrar
dan tasdiq keimanan. Oleh itu sesiapa yang bercakap atau melakukan
perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah
maka syahadahnya terbatal dan keluarlah ia dari Islam.


Pengertian Iman Dan Kufur :

Iman : Ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan perbuatan.

Kufur : Ingkar dengan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya
beriman setelah ditegakkan segala hujjah-hujjah, disampaikan kebenaran
itu dan dinyatakan kepada mereka yang melakukan amalan-amalan yang
dianggap ingkar menurut nas-nas yang sahih.



Batas-Batas Keimanan :

Iman dan kufur dibatasi oleh empat batas-batas utama. Setelah itu
sesuatu ucapan atau perbuatan yang membawa maksud yang disengajakan
untuk melanggar keempat-empat batas ini, maka ia akan mengeluarkan
seseorang itu dari Iman dan Islam. Antara batas-batas utama yang
menjadikan terbatalnya Iman seseorang itu adalah :

1. Mengingkari atau mencela sifat Rububiyyah Allah s.w.t.

Menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang mukmin ialah mentauhidkan
Allah s.w.t. dalam apa jua urusan samada rezeki, kehidupan, kejadian
alam dan sebagainya. Sesungguhnya Allah s.w.t. lebih mengetahui segala
apa yang berada di bawah pentadbiran-Nya.

Sebagai contohnya, terdapat sebahagian daripada umat Islam hari ini
seolah-olah tidak merasai bahawa apa yang diterima adalah daripada
Allah s.w.t. Apabila digertak oleh mana-mana pihak, mereka merasakan
bahawa pihak tertentu akan menggugat mata pencarian mereka, lantaran
bagai lembu yang dicucuk hidung, mereka menurut segala arahan walaupun
bersalahan dengan syari'at Islam.




2. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah Allah s.w.t.

Kebanyakan daripada umat Islam meyakini bahawa segala penciptaan
adalah kekuasaan Allah s.w.t. Namun tidak ramai yang berusaha untuk
melakukan pengabdian secara mutlak hanya kepada Allah s.w.t.
semata-mata. Seolah-olah tidak merasai bahawa segala apa yang
dilakukan akan dipersoalkan di padang mahsyar nanti.

Merelai yang lain daripada Allah sebagai kuasa yang menghalalkan dan
mengharamkan atau kuasa perundangan dan kuasa pemerintahan. Firman
Allah yang bermaksud ;

" ….. ingatlah..hak mencipta dan memerintah adalah hak Allah…"
* Surah al-A'raf : ayat 54



3. Mengingkari atau mencela Rasulullah s.a.w., kerasulannya dan apa
yang dibawanya dalam rupa hukum syari'at. Perkara tersebut berlaku
dengan i'tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang
melakukannya batallah imannya dan keluarlah ia dari Islam.

Umpamanya mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai gundik yang
ramai dan hanya tahu memuaskan hawa nafsu semata-mata lantaran
memiliki isteri yang melebihi 4 orang. Ada segelintir daripada mereka
yang mengaku Islam tetapi meragui apa yang disampaikan oleh Baginda
s.a.w. Firman Allah yang bermaksud ;

" Dan jika engkau bertanya kepada mereka ( tentang ejekan-ejekan itu
), tentulah mereka akan menjawab : "Sesungguhnya kami hanyalah berbual
dan bermain-main." Katakanlah : Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya
serta rasul-Nya, kamu memperolok-olok dan mempermainkan?….."
* surah at-Taubah : ayat 65



4. Menolak atau menentang hukum Syari'at Allah. Menyakini bahawa
syariat, perundangan, hukum dan hudud yang telah disyariatkan oleh
Allah tidak mengandungi sebarang hikmat adalah perbuatan kufur
terhadap Allah.

Sepertimana yang banyak berlaku kini, perlaksanaan hukum yang tidak
berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah yang bermaksud ;

"Maka demi Tuhanmu ( Wahai Muhammad ), pada hakikatnya mereka tidak
beriman sehingga mereka menjadikan kamu sebagai hakim terhadap
perselisihan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa keberatan
untuk menerima hukuman yang dikenakan dan mereka menerima sepenuhnya…"
* surah an-Nisa' : ayat 65


5. Keengganan mengiktiraf nikmat Allah samada nikmat berbentuk
lahiriah atau sebaliknya. Firman Allah yang bermaksud ;

" dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa
yang kamu hajati. Sekiranya kamu ingin menghitung nikmat Allah ke atas
kamu nescaya kamu tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia (
yang ingkar ) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya,
lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya…."
* Surah Ibrahim : ayat 34


6. Mencintai hidup dunia lebih daripada hidup di akhirat dan
menjadikan dunia sebagai matlamat utama yang unggul dan terakhir.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud ;

" Katakanlah ( wahai Muhammad ) : "jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak
kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri ( atau suami-suami )
kamu, dan kamu keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah ( tempat
tinggal ) yang kamu sukai, ( jika semuanya itu menjadi perkara-perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan ( daripada )
berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksa-Nya ); kerana Allah tidak akan memberi
pertunjuk kepada orang yang fasiq (derhaka)…."
* surah At-Taubah : ayat 24.



Penutup :

Daripada penjelasan ringkas di atas, adalah wajar kita memandang berat
terhadap persoalan keimanan agar nikmat keimanan dan keyakinan kepada
kebenaran yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. itu dijaga dengan
sebaik yang mungkin. Tegakkan kalimah syahadah dalam kehidupan kita
seharian, keluarga dan seterusnya masyarakat serta negara. Sebarang
penyelewengan akan membawa kerugian yang besar bukan sahaja di dunia,
bahkan jua di akhirat.